Showing posts with label Kongsi Pandangan. Show all posts
Showing posts with label Kongsi Pandangan. Show all posts

19 January 2011

Tak Perlu Over Sangat

OK. Esok holiday. Cuti Thaipusam. Dan sekarang aku dekat sebuah hotel di Taiping. Konon-konon nak fokus study sebab ade assessment lusa ni. Tapi tak boleh fokus sangat lah. Dan tiba-tiba aku rasa nak post sumthing dekat blog. Blog yang selama ni aku update secara nak tanak je. Tapi yang aku heran bin ajaib tu aku tengok setiap hari ada je orang masuk blog ni. Aku banyak merepek je. Tapi aku tau korang suka baca benda2 merepek yang aku tulis.

Aku tengah taip ni atas katil. Nak tau tak ape yang aku tengah fikir sekarang bila aku baring atas katil ni? Aku tengah fikirkan tentang sesuatu. Sesuatu yang...random. Tapi logik. Ye, random tapi logik. Tapi aku rasa macam tak boleh nak bagitau korang. Nanti korang terkejut. Wahh..best tak aku buat macam ni? Rase lebih curious tak sekarang? Bagus bagus. Sebab aku takkan bagitau pon.

Aku cuma nak nyatakan pendapat aku sekarang. Pendapat tentang mereka-mereka yang suka membuat kenyataan public tentang kehidupan mereka yang bagus. Kadang-kadang aku tak berapa nak faham dengan sikap mereka ni. Mereka sengaja nak kasi orang jeles kah? Mereka memang nak menunjuk kah? Bagi aku mereka ni tak faham life. Takkan diorg taktau bahawasanye tak semua orang bernasib baik macam mereka. Siket siket nk story tu tak kisahla. Orang boleh accept lagi. Tapi kalau dah hari hari duk gebang pasal love story kau, pasal kemewahan kau, pasal kebahagiaan kau, pasal kejayaan kau and bla bla yang lain, bersedialah untuk menerima kutukan. Bukan kau taktau, orang melayu ni tipikalnye takleh tengok orang senang atau lebih siket. Trase tak? Trase tak?

Cant you just be more considerate? Dulu masa kecik selalu je ada orang bagitau aku, kalau aku memang tanak share benda best yang aku ada dengan orang lain, jangan bagi orang lain nampak pon. Tak baik tau. Kalau orang lain dah ternampak, maksudnya secara otomatik kau kena kongsi sekali benda tu dengan diorang. Contoh ni aku bagi based on pengalaman membawa bekal di sekolah. Tengok! Hal makanan pon kena cover, inikan pulak hal2 besar yang lain. 

Meaning, kalau kau cerita pasal kereta baru kau, kau kena bagi orang lain naik sekali. Kalau kau cerita pasal duit, kau kena belanja orang lain. Kalau kau cerita pasal kejayaan, kau kena kongsi rahsia kejayaan dengan orang lain. Kalau kau cakap pasal kebahagiaan, kau kena berkongsi kebahagiaan dengan org lain. Kalau cakap pasal bf/gf kau yang best, kau kena kongsi bf/gf kau yang best tu dengan orang lain. Nak ke camtu?



Dapat tak apa yang aku cuba sampaikan kat sini? 



*silence*




Aku pon dah lost. 

Mungkin aku perlu sambung study.

26 December 2010

Perempuan dan Bola

Sebelum apa apa, aku nak buat confession. Aku memang tak minat bola. Selama ni aku tengok sekadar suka-suka. Jadi ilmu tentang bola ni agak la limited and maybe tak updated snagat. Tapi nak kata aku tak amik pot langsung pasal bola, tak jugak. Sebab aku agak rajin mengupdate diri dengan isu2 semasa. Dan aku consider sukan bola sebagai salah satu isu semasa jugak...hehe..boleh tak macam tu? Rajin baca tak bermakna rajin tengok. Kan?

OK. Secara umumnya jarang sangat kita jumpa golongan perempuan yang betul-betul minat tengok bola. Yang ramainya ialah golongan perempuan yang buat-buat minat tengok bola. "Buat-buat minat" di sini bermaksud mereka menonton bola bukanlah untuk tujuan kepuasan sendiri tapi lebih kepada tujuan menarik perhatian golongan lelaki. Kenapa nak tarik minat lelaki? Alaa, adalah reason masing-masing tu kan? Yang ni aku malas nak komen. Bagaimana nak bezakan golongan perempuan yang betul-betul minat tengok bola dengan perempuan yang buat-buat minat ni senang je.


1) Kurang ilmu pengetahuan tentang bola

Golongan ini ada pengetahuan tentang bola yang sangat limited. Pengetahuan mereka hanya tertumpu kepada benda-benda besar dan obvious. Contohnya, mereka cuma kenal watak-watak pemain bola yang selalu disebut2 di media, tak kisah la samada sebab mereka itu pemain yang super kacak atau banyak menjaringkan gol. Watak-watak lain langsung tak dipandang-pandang. 

Contoh - contoh pemain super kacak yang diminati ramai golongan perempuan seperti ini.



Michael Owen. Sekarang ni pemain MU tapi agak kurang menyerlah sebab beliau ni bukanlah pemain regular untuk first team MU sebab dia baru je kot baik dari hamstring injury dia. Mostly game-game semua dia main as sub-player je since dia masuk MU. Tu pasal kureng sket orang duk cakap pasal dia ni kalau nak compare dengan zaman kegemilangan dia main dalam team Liverpool dolu-dolu. Walaubagaimana pun, ye ye beliau masih kacak.



David Beckham. Wow wow sungguh kacak mamat ni. Sekarang ni beliau bermain untuk club Galaxy US dan AC Milan sebagai loan player. Beliau ni pon ada kecederaan gak. Itu pasal beliau tidak dapat join main dalam England team masa World Cup baru-baru ni. End up beliau jadi macam coach je untuk England nye player masa tu. Tapi kekacakan beliau ni sebenarnya agak membunuh sebab beliau lebih tegar digelar celebrity than a football player sampai ada satu time tu Alex Ferguson pernah saman dia kot sebab ada buat hal masa zaman-zaman kegemilangan beliau dengan MU. Tu la..kawin lagi ngan Victoria tu. Huh.  






Aidil Zafuan. Yang ni pulak kite cerita pasal bola kebangsaan ye. Beliau bermain untuk pasukan Negeri Sembilan dan merupakan pemain skuad kebangsaan. Yang menjadikan beliau ni lebih dikenali ialah of course sebab beliau ni berkawin dengan artis negara jugak. Sape la tak knal Rita Rudaini tu. Nak jadi lagi hot, diorang kawin kat Siam nu ha. Nak hot lagi, beza umur dia ngan Rita tu sangat laa jauh. Nak lagi lagi hot, sekarang ni ade desas desus pergolakan rumahtangga pulak. Nak lagi lagi lagi hot? Pegi masak maggi sekarang. OK. sungguh tak kelakar kan. NEXTTT!!

Next ialah pemain-pemain yang glamour dan disebut-sebut kerana skill dan rekod mereka yg menjaringkan banyak gol.




Mari kita mulakan dengan cerita hot yang berlaku di Malaysia sekarang iaitu AFF Suzuki Cup. Mohd Safee Mohd Sali yang bermain untuk pasukan Selangor FC dan skuad kebangsaan. Nama beliau terus melonjak naik bila beliau telah menjaringkan 2 gol menentang Vietnam baru-baru ni. Plus untuk menambahkan lagi kekuatan beliau, 2 daripada 3 gol telah dijaringkan oleh beliau dalam perlawanan menentang Indonesia malam tadi. Ehem2 nak tau tak? Beliau dari Kajang dan tarikh lahir beliau sama dengan aku...heee

Untuk pemain-pemain international, boleh la aku just namakan a few, aku pon tatau sangat sapa yang menyerlah just sebab banyak jaringkan gol. Tapi yang tengah hot sekarang ni macam Nani, Barbetov, Park Ji Sung, Torres, Nasri, Drogba and sape tah lagi..mane la aku tauuu..

2) Tidak reti berkomentar tapi nak jugak komentar

Selalunya mereka ni akan menjadi terlebih emosi pulak. Bile gol beria sangat excited disusuli dengan pujian-pujian teknik tandukan dan sepakan yang melampau-lampau hyperbolanya. Sebab nak eksyen kata kau tau benda tu patut dirai dengan gembira dan konon-konon nampak la kau macam alert dan pandai sket bab bab bola ni.  Pastu bila ade fault sket je bising tapi macam tak kena tempat. Kekadang tak offside kau cakap offside. Kekadang player kena tepis sket je kau yang emosi lebih kata patut bagi yellow card. Kekadang player kena tackle sket dekat2 kotak penalti kau heboh kata patut bagi penalti instead of free kick je. BLA BLA BLA. Salah betul belakang kire, yang penting.....komentar dengan penuh perasaan dan ade styleee~lah!


3) Semangat terlebih

Semangat terlebih ni boleh merangkumi dari sekecil-kecil perkara seperti mem"post" status2 semangat pasal bola di facebook, menjoin rakan-rakan lelaki lepak tengok bola di kedai-kedai mamak sambil memakai jersey, atau sehingga ke tahap menubuhkan satu group perempuan2 yang akan conquer satu table dan membuat hingar di kedai-kedai mamak untuk get the attention setiap kali ada game. Ade pulak yang kalau setakat family tengok bola kat rumah haram la nak join tengok sekali....tapi bila tengok kat luar je..eh tetibe kau jadi lain pulak semangatnye ye..

4) Taktau sape dalam team sape, tatau sape yang tengah main sekarang

Cuba kalau test diorang tanye player ape main untuk team ape and tanya sape player yang tengah main masa tu. Konfem takleh jawab.

5) Cakap pasal bola menggunakan bahasa yang sangat umum

Mungkin agak sukar la kite nak dengar term-term specific bola macam hattrick, back heel, outswinger ni keluar dari mulut2 mereka. Sebaliknye mereka cuma komen guna words macam kick, tackle, strike, offside, defense, header dan goal! 



Nasihat aku, kalau dah memang tak minat tak payah la nak paksa-paksa diri. Tak payah hipokrit. Tak payah tunjuk cool. Banyak lagi cara lain nak tarik perhatian lelaki. Lelaki-lelaki pon rilekk je kalau si perempuan tak minat bola. Kan lelaki kan? 

  



p/s When you are faking it, it shows....obviously!

25 June 2010

Perkara Rawak di Sekeliling Aku

Setiap kali aku keluar, aku perhati keadaan sekeliling. Apa yang berlaku di sekeliling aku. Ini bolehlah dikira sebagai terapi cuci mata sendiri. Dari perkara-perkara sebesar-besar alam, hingga ke perkara sekecil-kecil kuman, semuanya aku ambil kira. Itupun kalau fikiran aku tak kusut la. Kalau otak aku kusut, aku tak boleh mencuci mata. Kerana terlalu fokus pada masalah. 

Ini adalah perkara-perkara rawak yang menarik perhatian aku sepanjang minggu ni:

google image

1) Budak-budak kecik jalan-jalan dengan bedak bertompok-tompok di muka. Tak sekata langsung! Ish ikut hati nak je aku pergi dekat budak tu dan ratakan bedak elok-elok dan cakap dekat mak budak, "Akak, lain kali letak bedak dekat muka biar sekata, baru nampak comel budak nih...! " Tapi aku tak se"daring" itu laa. Dah banyak dah aku jumpa kes budak macam ni. Kenapa eh? Ada petua2 yang aku taktau ke??

google image

2) Orang yang guna payung patah padahal masa tu hujan lebat. Payung yang dah macam takde harapan untuk diselamatkan selain harapan untuk dibuang ke tong sampah. Adoii, apsalla payung itu jugak kau nak guna? huhu..


3) Aku sangat suka tengok respon bila ada orang yang berdiri tepi jalan yang penuh dengan lopak-lopak air. Setiap kali ada kereta laju melintas, terus buat-buat gaya macam nak mengelak dari terkena percikan air dengan muka yang pasrah. Padahal takde air terpercik pon. Haha. Macam kelakar duh. 


4) Klakar bila tengok orang yang nak "cover" perbuatan sendiri tapi "cover" kau tu obviously tak menjadi. Selalu kalau tengok drama-drama atau baca novel mesti ada part macam ni. Contohnya kau nak stalk orang, lepas tu konon-konon buat-buat macam nak lalu tempat tu dengan muka selambe, lepas tu ade orang tegur," Eh, awak buat apa dekat sini?" Then dengan cuaknya dia terus balas, " Eh, eh takde apepe, saya cuma nak tengok....tengok ni haaa ( ternampak poster dekat dinding ) nak baca-baca poster-poster ni.." Then dia terus blah. Haha ingatkan dalam drama-drama je ada scene yang macam ni...=p


5) Tersalah cakap adalah perkara yang sangat biasa. Tapi jadi luar biasa, bila ayat yang kita tersalah cakap tu jadi bahan lawak pulak. Especially kalau tengah-tengah bincang perkara serius, tetibe tersalah ckap, lpas tu ayat yang kau salah cakap tu sangat kelakar. Huh, disebabkan benda ni aku sendiri yang buat, aku takmau kasi contoh, silap-silap nanti boleh masuk group "PERSATUAN SALAH CAKAP" dalam facebook pulak. Jatuh ar saham akuu...


6) Perkara rawak lain nanti lah aku tambah kemudian kalau ade lagi..



P/S  Sometimes it's the little things that make all the difference in the world...=)

28 May 2010

Jenis-jenis Pemandu Di Highway Yang Boleh Bikin Aku Panasss

AKU MENGANTUK NI HA. TAPI AKU GAGAH JUGAK NAK TULIS. APSAL LA PLAK AKU TULIS BESAR-BESAR NI..??


emm...

Sekarang aku kat Kajang. Dah start cuti. Seminggu je. Tak lama pun. Tapi aku taknak cakap pasal cuti. Ni aku nak cakap pasal sikap-sikap pemandu kat atas highway yang boleh membangkitkan kemarahan aku. Eh tapi sebelum tu aku nak tanya la kan, katalah aku gerak dari Georgetown pastu sampai Kajang dalam masa 4 jam, drive kete. Kau rasa, aku bawak laju ke tak? Tak kan? tak kan?? Ye ar, kan dah wujud laluan terus tanpa henti Penang - KL. Logik je la kan sampai 4 jam. Tapi, 4 jam tu termasuk berenti isi minyak 2 kali, pam angin tayar, berhenti makan and solat kat RnR Tapah. Oh ye, dan hantar kawan pergi stesen komuter UKM sebelum singgah rumah. Eheh.

-Google image : Lebuhraya Utara Selatan-

HUHU. Tapi, seriusly dalam banyak-banyak area sepanjang highway utara-selatan ni, aku paling suka gila part laluan terus tanpa henti ni. Dah la baru, jalan plak luas, kete tak banyak langsung..pastu aku rasa cam mesti ar sistem untuk detect kete laju tak establish lagi sebab tempat baru kan? Em, aku harap ar. Sebab...sebab...aku konfem bawak 150/160 kat area ni tanpa rasa bersalah plak tuh. Seronokkk...!

-Google Image: SILK Highway : KAJANG Exit-

-Google Image : Plaza Tol KAJANG-

Aku suka driving. Kekadang aku seronok balik cuti bukan sebab nak balik umah. Tapi excited part driving nak balik umah tu. Boleh tak..?? boleh tak macamni? hahaha~ Dan disebabkan aku suka driving, aku banyak perhati sikap-sikap pemandu yang bermacam-macam ragam. Maybe aku banyak bengang sebab aku suka drive lane laju kot. Klau aku drive area tengah ke, lane lambat ke, aku takdelah kisah sangat. Jadi komen-komen aku kat sini maybe agak biased jugak sebab ni adalah dari perspektif aku yang berada di lane laju sahaja. =p

Ni antara kerenah-kerenah pemandu lebuhraya yang bikin aku bengkek la jugak:

1) Pemandu Jenis Dengki - Tengah-tengah sedap drive laju (120 yer), tetibe ade plak kereta masuk lane laju dari lane tengah, sebab kunun2 nak potong kete depan dia. Yang aku bengang tu dah ar masuk lane time2 aku dah nak dekat-dekat cium bontot kete kau. Aku pun terpaksa tekan brek smpai habis..pastu bila kau dah gerak balik masuk lane tengah, kete aku jadi lambat lak..kete aku dah la lambat accelerate...eh macam tak bersalah plak kau eh?.. kau dengki ngan aku eh?

2) Pemandu Jenis Tak Sedar Diri - Yang ni agak common kot. Mana-mana leh jumpa. Bersepah-sepah. Dah tau kau tu style bawak agak lambat dan lemah longlai, tapi nak masuk lane laju gak. Pastu dah cucuk-cucuk buntut pon masih tak faham lagi. Eergh, bengangg...(tiba-tiba masuk lagu AKIM AF-BENGANG) 

3) Pemandu Jenis Perasan Bagus - Ha, yang ni style dari jauhh lagi ko dah nampak dia naikkan lampu. Aku pun dengan rela hati gerak ar masuk lane tengah nak bagi laluan kan. Pastu setelah sekian lama aku drive kat lane tengah tu, kau tak sampai2 lagi. Amende ni oii..? Penat je aku tukar lane...Perasan laju la kau nih!

4) Pemandu Jenis Manja-manja - Yang ni agak rare lah. Tapi kalau kau banyak pengalaman memandu atas highway sure ko boleh jumpa nye. Cewah. Yang ni jenis suka cium buntut kete orang. Jenis yang suka follow dekatttt punyaa. Tapi bila orang bagi laluan, taknak potong plak. Masih nak follow ikut belakang. Dekat-dekatttt je plak tu. I rimas tauuu~ (auww!)

5) Pemandu Bas - Aku tak suka bas yang ada atas highway. Dah ar suka makan jalan. Pastu bawak macam tak stable je. Kejap ketepi, kejap ketengah. Aku nak lalu sebelah kau pun kecut perut, sebab macam ada kemungkinan kena himpit je..

6) Pemandu (dan penumpang sekali) Gatal - Yang ni jenis terlebih mesra agaknya. Lalu-lalu sebelah pon nak lambai2...ceh!



p/s Kau pulak pemandu jenis apa? =)

19 March 2010

Cuba Lari Dari Kebiasaan

Aku kadang-kadang ada idea gila. Tapi aku tak pernah nak suarakan sebab aku rasa tak mampu nak jadikan idea tu satu kenyataan. Tapi aku kadang-kadang terfikir alangkah bestnye kalau aku betul-betul boleh buat benda ni in real life. Sebab aku pasti lepas aku aplikasikan idea ni, konfem takkan lupa punye ar lepas tu. Mungkin boleh jadi one of the best memories dalam hidup aku. 

Pernah tak korang terfikir untuk lari dari kebiasaan? Atau korang dah selesa dengan apa yang korang buat? Kadang-kadang aku selalu jugak terfikir untuk cuba jadi lain dari orang lain. Sebab tu kekadang tetiba je idea gila boleh datang. Dan aku rasa idea ni boleh pakai especially untuk sesiapa yang teringin nak outing and buat sumthing tapi tengah pokai dan takde sen.

Idea ni sangatlah sesuai jika dilakukan bersama rakan rakan yang berperangai gila-gila dan otak sengal. Kalau tak cukup sengal, mungkin idea ni takkan boleh diaplikasikan. Selain itu, idea pelik ni mungkin sesuai untuk mana-mana couple yang pergi outing. Aku taknak sebut dating. Sebab kalau sebut dating, automatik kepala otak aku dan kau akan set gambaran couple pergi tengok wayang, makan-makan, main bowling, shopping together-gether dan owh, boleh tambah lagi satu aktiviti latest couple-couple zaman sekarang, ambik gambar bersama guna DSLR...(=.='). 


Aku bayangkan aktiviti gila-gila yang macam ini.....


1) Bila nampak eskelator aku terfikir untuk buat ni - Main lawan-lawan guna eskelator. Sorang berdiri dekat eskelator yang menaik, and sorang berdiri dekat eskelator yang menurun. Kiranya, sapa yang berdiri dekat eskelator menurun tu kena compete dengan yang berdiri atas eskelator menaik. Caranya? Kena lari laju-laju naik atas arrr...tengok siapa sampai atas dulu??

2) Selalunya dekat shopping complex kan ada macam satu bulatan besar kat tengah-tengah mall yang korang boleh tengok peformance apa-apa kat bahagian ground floor dari atas kan? - Kat port ni pon aku terfikir idea gila jugak. Sorang berdiri kat belah North contohnya, and sorang berdiri dekat belah opposite (South). Buat benda ni kat level atas la, bukan ground floor. So, antara korang telah dipisahkan oleh satu bulatan yang besar. Pastu, apa kata kalau salah sorang sebut "WOI, KAU (sambil tambah description) YG PAKAI BAJU MERAH BELANG-BELANG SELUAR PUTIH TU, BUANG ANGIN BAU SAMPAI KE SINI!!!". Make sure kena sebut kuat-kuat sampai lagi sorang boleh dengar. Yang pastinya bukan korang berdua je la yang boleh dengar...kan??

3) Everytime aku nampak lif plak aku terfikir untuk buat macam ni - Masing-masing masuk lif yang berbeza, jangan set nak stop kat tingkat berapa. Tekan level ikut suka hati sndiri. Ini untuk menguji kadar "chemistry" antara korang. Kalau kebetulan korang keluar di tingkat yang sama, maknanya jodoh korang memang kuat. wakakaka. Tapi kena make sure ade 2 lif yang terbuka pada masa yang sama sebelum masuk arr..jadi disarankan untuk membuat aktiviti ini lewat-lewat malam di mana pengunjung dah tak ramai. Sure ada banyak lif kosong...

4) Shopping mall yang ada stage - Ni paling best. Best jugak kalau tetibe naik atas tu pastu buat la apa-apa yang menarik. Tak kisah ar nyanyi ke menari ke shuffle ke berlakon ke, buat lawak ke asalkan korang boleh tarik perhatian orang ramai untuk tengok. Yang pasti kena buat cepat-cepat sebelum korang dihalau turun oleh pihak yang bertanggungjawab. Klau yang takde stage senang je, korang cari port yang betul-betul centre so that orang ramai boleh berdiri kat tepi-tepi tengok korang melakukan aksi perangai pelik dari atas...

-centre ye...centre!-

5) Idea lain korang tambah sndri laaaa...


Ini cuma bayangan gila-gila aku je. Tak mesti aku nak buat pon. Tapi kalau korang nak buat dipersilakan, cuma segala akibat atas perbuatan korang, aku taknak bertanggungjawab ye...Sekian saja aku merepek untuk kali ni.




p/s Ah, toksoh nok pedo'oh la aok nihh...

28 December 2009

You're So Lucky!

Salam. Dah lama tak menulis. Aku nak tulis la pulak kali ni. Erm, korang selalu tak mengalami situasi yang macam ni? Situasi di mana anda mengharapkan tips-tips bernas dari seseorang, tapi orang tu pulak membalas dengan satu bentuk jawapan yang "mengecewakan". OK aku bagi contoh la.

Contoh 1 : 

Aku tanya someone, " Eyh, kulit ko lawa la. Takde jerawat pun. Apa rahsia ek? Ko pakai produk apa? Kongsi ar skett....". Then someone tu pun menjawab, " Eyh, takde la. Aku tak pakai apa-apa pun. Sepanjang hidup aku ni aku tak pernah guna pencuci muka pun..."


Contoh 2 :

Aku tanya someone, " Eyh, ko dari dulu sampai sekarang sliiim je ek. Kagum aku. Ko diet ke apa?..." Then someone tu pun jawab, " Ceh takde masa aku nak diet2 ni. Tak puas hidup la kalau camtu. Aku bantai je makan semua, tolak besi dengan kayu je...."


Contoh 3 :

Aku tanya someone, " Wah, gempak giler result ko! Camne ko study ek? Kongsi ar petua2 sket..." Then someone tu pun jawab, " Ala, aku takdela pulun study sangat pun, aku study last2 minute je kot..assignment pun semua aku bantai buat last minute before submit...gile gelabah aku masa tu...''

Boleh caya ke jawapan-jawapan mereka ni?

"MENGECEWAKAN" sungguh bukan? "MENGECEWAKAN" ni lebih kepada envy pun ye jugak. Sebab, apa yang mereka kecapi tu tak berkadaran dengan usaha mereka. Or maybe because, some of them are just plain lucky!


Apa-apa pun, bersyukurlah dengan nikmat yang ada pada kita sekarang. Sebab mungkin pada satu masa yang akan datang, kita pulak yang jadi "someone" itu...kan?



-this is what I want to tell you, "You're Sooo Lucky!!"-

12 December 2009

Kelebihan Lelaki...

(...eleh, lebih sket jerr..)


Isk. Kalau aku cakap ni, aku takut golongan perempuan terasa pulak. 
Banyak kali dah aku pikir-pikir nak bagitahu ke tak menda ni kat blog. 
Tapi aku rasa apa salahnya kalau aku nak kongsi isi hati aku.
Orang kata, kalau lelaki boleh buat sesuatu menda tu, perempuan pun mampu buat jugak. Sebagaimana kata-kata pujangga, "Tangan yg menghayun buaian itu, mampu menggoncangkan dunia.."
Eh, tapi ada kaitan ke perumpaan ni dengan topik ni? Entah...merepek aku dah start keluar dahhh... 

Tapi sampai sekarang aku rasa ade satu benda yang tak pernah aku jumpa perempuan boleh buat dengan jayanya, sebagaimana lelaki buat. (korang paham kan ayat ni? kalau tak paham, sila hempuk kepala ke dinding 8 kali, tak lebih tak kurang)
Kalau perempuan cuba nak buat pon, benda tu takkan menjadi sangat. 
Aku sendiri pun rasa benda ni agak susah nak dibuat. 
Dan, kalau nak buat benda ni pun, perlu otak yang gila-gila, kreatif dan....spontan! Bukan perlu buat-buat, tapi perlu datang dari hati yang ikhlasss...

Sebab, yang menjadikan benda ni sebagai profession pon, boleh kata semuanya golongan lelaki..
Sampaikan, ada yang kalau letakkan ciri-ciri bakal suami pun, mesti mereka akan kata, "I, kalau boleh nak husband yang pandai buat *tuuuuut*". Ini telah membuktikan betapa benda ni terlalu dominan dalam sifat kaum lelaki. Aku tak pernah jumpa lagi lelaki yang cakap benda yang sama kalau letakkan ciri-ciri bakal isteri. Aku pon tak berapa nak faham kenapa ini terjadi. Sepertinya, benda ini cuma dapat diturunkan ke dalam baka dan gen-gen lelaki yang berkromosom Y sahaja...



Er, korang nak tau tak ape bendanya tu??




























..hurmmm buat LAWAK! (bukan lawak bodo)


- Ratu lawak tadek ke??-


p/s Kau rasa aku lawak tak?? Mestilah tak kan?? Cett...

24 October 2009

Fake itu PALSU...

-fake brand vs fake people-

...dan kalau FAKE itu dipersonifikasikan, aku yakin individu itu bakal dipanggil HIPOKRIT.


Sedarkah kita yang sebenarnya ramai manusia disekeliling kita adalah palsu belaka. Ya, mereka itu hipokrit. Dan kadang-kadang kita sendiri sedar bahawa diri kita juga hipokrit pada satu-satu masa tertentu. Dan ada juga masa yang kita PERLU jadi hipokrit.


"We live in a world full of hypocrisy" -anonymous:(read; ME)-


Hipokrit itu sebenarnya.....baik atau tidak ya? Jangan hanya cepat nak kaitkan hipokrasi dengan sesuatu yang negatif. Cuba fikir balik. Bagi aku sendiri, hipokrit boleh jadi baik dan boleh jadi tidak baik juga. Ianya bergantung pada niat kita sendiri. 

Contohnya, aku berpura-pura jadi ramah dengan orang yang langsung aku tak kenal atau dengan orang yang kita tak berapa nak suka. Berpura-pura tanya khabar untuk jaga hati, untuk jaga perhubungan antara dua belah pihak. Bukankah ini sesuatu yang mulia? Jadi dalam hal ni, perlu juga sifat hipokrasi, walau macam mana sekalipun kau tak sukakan orang itu. Lebih baik berhipokrasi daripada bermasam muka dan berperang mulut...kan?

Contoh lain: Kita jadi hipokrit apabila berdepan dengan seseorang yang kita hormati atau sesorang yang lebih tua. Tunjuk baik atau sopan di depan mereka walaupun kau sendiri sedar diri kau yang sebenar bukanlah sesopan dan semurni itu. Bagus apa. Jadi baik walaupun sekejap sebab kita hormatkan orang itu. Lebih baik dari mereka yang "kurang ajar" tak kena tempat.

Contoh lain: Kita jadi hipokrit sebab nak sesuaikan diri dengan keadaan dan untuk diterima. Terutamanya jika kita di satu tempat yang baru. Kadang-kadang kita terpaksa ikut 'rentak' mereka supaya kita boleh 'masuk' dengan keadaan itu. 

Ini contoh hipokrit yang "baik". Mungkin ada lagi. Tapi aku agak lemah dalam memberikan contoh terbaik. Hipokrit yang "jahat" pulak bagaimana?. Aku tak rasa aku nak bagi contoh, sebab aku agak semua orang dah boleh tau. Mereka yang hipokrit untuk tarik perhatian...demi untuk menjatuhkan orang lain, hipokrit atas dasar pentingkan diri sendiri, ini semua hipokrit "jahat" yang masing-masing sudah sedia maklum.

Cuma, dalam hal hipokrasi ni, aku agak kurang senang dengan mereka yang menggunakan alasan hipokrasi sebagai tiket bagi mereka untuk melakukan kesalahan. Dah banyak kali aku dengar mereka gunakan alasan, "Alaaa, lebih baik tunjuk perangai sebenar dari jadi orang hipokrit! " Jawapan aku: " Helooo...Kalau ye pon nak tunjuk perangai sebenar, kontrol-kontrol la sikit....!" 

Sebelum aku berhenti menaip, aku nak kongsikan dengan anda, sebuah filem pendek berkaitan perjalanan kehidupan. Aku suka skrip dia yang penuh dengan unsur metafora tapi kita boleh cepat tangkap apa yang dia cuba maksudkan itu. Skrip dia memang tak FAKE langsung. Dan apa yang disampaikan itu adalah sesuatu yang REAL. Ini cuma part 1. Dia ada 2 part. Ending dia terbaik. Tengoklah sampai habis yer...



p/s Kalau aku atau anda tiba-tiba "hipokrit" apabila berdepan dengan seseorang yang kita minat, itu dikira hipokrit "baik" atau "jahat"...? =)

p/s Bila aku dapat tau ramai sebenarnya kawan-kawan aku yang baca blog ni aku rasa blogging ni hipokrit jugak...but...in a good way, i guess~ (this blog is my alter EGO) =p




11 October 2009

A Transgender, Prisoner and Heroin Chaser

Yes. This patient I met last Wednesday has all of the above. 3 in 1.

Sepanjang minggu ni, macam-macam jenis orang dah aku jumpa di ward. Tapi, highlight of the week ialah, seorang patient transgender yang juga merupakan seorang prisoner. Dia berumur dalam lingkungan 50s. Patient ni dah pun menjalani pembedahan Breast implant, face lift dan eyebag removal di Thailand dan Singapore. Dahsyat. Dan kalau bercakap tentang personaliti transgender ni, masing-masing sudah sedia maklum tentang sifat "keramahan" mereka. Betul kan? Mereka ni jenis yang rajin bercerita dan disebabkan gaya mereka yang 'menghiburkan', kita pun dengan tak semena-mena jadi rajin nak melayan. 

Actually, case dia bukan best sangat pon. Perforated Peptic Ulcer je. Tapi sebab dia 'lain dari yg lain' aku dengan kawan aku saja pergi clerk patient ni, tanya pasal penyakit dia. Hehe. Kami memang curious. Dan disebabkan dia merupakan seorang prisoner, sambil kami clerk patient tu, kami diawasi oleh seorang pegawai penjara yang bermuka garang dan bermisai. (Bajet je garang tapi last2 pegawai ni join kitorang bergosip pasal patient ni after habis clerking. Haha~)

" I buat breast ni yang mahal punya tau, bukan silicon tuu. Tengok, sampai sekarang cekang* lagi!" sambil membuat gaya tangan yang err...anda paham2 sendri laa. (cekang just simply means tegang)

"Macamamna you boleh jadi macam ni...?"

"Dari kecik lagi...."

"Parents and family you tak marah..?"

"Eyy...tak marah punyaa...I tinggai dengan family....takde apepe pun..."

"Dah berapa kali you masuk penjara yek?" aku cuba bertanya.

"Yang ni masuk 5 kali. I baru kena tangkap 2 hari lepas"

"Oo, boleh tau tak you masuk penjara sebab apa?"

"Sebab I ada Heroin laa. Memiliki dadah..."

Pegawai penjara tu siap explain lagi prosedur2 masuk penjara. Dia pun bagitau la, patient ni masih dalam tahanan reman. Kiranya, patient ni masih tak dijatuhkan hukuman la. Dia bagitau, selalunya dalam penjara, prisoner2 transgender ni ada tempat diorang sendiri. Tak campur la dengan prisoner2 lelaki yang lain. Agak-agak kalau campur, apa yang berlaku? Lu pkirlah sndrii~

Dia pun ada bagitau, memang majoritinya orang melayu lah. (memang expected pun). Yang perempuan budak-budak muda pun ramai. 

"Budak-budak perempuan melayu pun ramai. Ada muka tu tengok lawa-lawa, comel je. Kira, hati jantan ni kalau tengok memang terpikatlah...tapi tengok perangai memang tak senonoh..!" 

Rajin benar pakcik pegawai ni bercerita dengan kitorang. Sampai masuklah semua cerita kaedah2 sebatan sampai cerita tali gantung sehinggalah pakcik ni bertanya kitorang, "Korang ni bila nak habis belajar?" Kitorang pun jawab je la. 

"Sejuukk perut mak2 engkorang mengandungkan korang yek. Dahla muka lawa, belajar tinggi2 jadi doktor pulak tu!"

Eheh. Kami nak cakap apa lagi? Sengih je la macam kerang busuk kat situ...

Tetibe..



"Eh. korang tanya la dia, ada tukar yang dekat "bawah" sekali tak??"

Err. Pakcik pegawai ni pulak yang terlebih curious yek...

"Emm, takde lah kot. Dah tanya pasal previous operation tadi. Kalau ada, mesti dia dah bagitau awal-awal dahh..." kami menjawab.




Dah habis clerking patient. Lantas aku terfikirkan sesuatu....patutkah kita bersikap judgemental kepada golongan ini...? Macammana nak approach atau betulkan mereka? Dari sudut agama? Psikologi? Hurmmm~


p/s Ujian telinga hari ini. Cuba teka lagu yang aku cuba mainkan ini. Ni cuma intro lagu je. Intro lagu yang FAIL yer. Jadi kalau korang jawab betul, korang memang superb lah!


06 July 2009

Hikmat Baju Kurung!

Salam! Weh, korang tak rindu aku ke? Dah agak lama aku tak update blog ni. Dah rasa malas. Tapi, selagi misi aku belum selesai, aku tak boleh berhenti blogging. Misi apa tu, aku pasti satu masa nanti korang pasti akan tahu jugak. 

Beberapa hari lepas, aku dan mama pergi pusing satu Bangi ni nak cari tailor yang masih menerima tempahan menjahit baju untuk raya nanti. Secara jujurnya, aku langsung tak kisah pasal ni. Selalunya, kain-kain semua mak aku dah siap beli. Sedar-sedar je aku dah ada baju raya. Begitulah yang kebiasannya berlaku. Aku cuma pilih beberapa baju kurung siap yang dibeli di akhir-akhir minit sebelum menjelang raya. 

Taste aku paling simple. Aku prefer baju kurung kosong yang bercorak minimalistik takpun, baju kurung bunga2 simple dengan background putih. Tapi, corak lain pon aku bedal jer...

Untuk jenis baju pulak, aku memang prefer baju kurung potongan tradisional, walaupun aku sedar kebelakangan ni ada banyak jenis potongan/fesyen yang mula diketengahkan. Kebaya, kebarung, baju kurung moden lah, baju kurung Riau lah, baju kurung Pahang lah...dan banyak lagi. Tapi, sekali lagi, kalau dah dibelikan baju2 fesyen yang lain ni, aku memang bedal jer. Aku tak memilih...

Aku sebenarnya termasuk golongan 'RARE' memakai baju kurung. Sampaikan bila aku pakai baju kurung pergi kelas, kawan-kawan aku seolah-olah sangat kagum dengan pemakaian aku pada hari tersebut. Contoh kata-kata mereka yang akan aku dengar:


" Ececeh, Najlaa pakai baju kurung tuu....!"


" Wahhhh..ko pakai baju kurung hari ni...??"


"Eyh Naj, kenapa harini ko pakai baju kurung..??"


Hampeh. Aku tak boleh menyalahkan mereka. Memang hakikat pon. Sebetulnya, aku bukan bersendirian dalam hal ni. Rakan-rakan rumah aku pon 2x5 je. Masing-masing akan "dipuji" atas keberanian kami memakai baju kurung pada hari itu. HAHAHA...

Tapi, yang aku pelik sampai sekarang, koleksi baju kurung aku belambok-lambok! (Lipis accent). Banyak yang aku hanya pakai sekali setahun, iaitu pada musim Raya. 

Tak dinafikan, baju kurung ni sendiri banyak kelebihannya, selain menonjolkan ciri-ciri muslimah sejati dan kesopanan seorang gadis melayu. Tak caya? Jom kita tengok sama-sama :


1) Selalunya untuk majlis-majlis rasmi, bukan sahaja tertakluk di dalam negara Malaysia, baju kurung juga boleh dianggap sebagai formal wear di luar negara. Jadi, tak perlu nak spend banyak-banyak duit untuk beli seluar slack/skirt, blouse dan coat..


2) Baju kurung boleh diterima masyarakat jika mahu dipakai bila-bila masa mahupun di mana-mana tempat. Sangat berlainan dengan baju melayu. Cuba bayangkan, sekiranya pada suatu hari Rabu, pukul 4 petang kelihatan seorang mamat memakai baju melayu lengkap beserta songkok dan sampin songket sedang berjalan-jalan di dalam Midvalley...tak pelik ke??


3) Kalau nak pikat hati bakal mak/bapak mertua, aku sarankan, pakailah baju kurung. Automatik kau akan dapat greenlight untuk dijadikan sebagai bakal menantu...


4) Aku rasa baju kurung ni macam ada aura la. Setiap kali aku pakai baju kurung, setiap kali itu juga aku jadi lebih berhati-hati dalam tingkahlaku dan percakapan. So, sesiapa yang rasa ada kenalan mana2 gadis yang ala-ala ganas tu, ajak diorang pakai baju kurung...mane tau lama-lama dia akan berubah jadi lebih ayu dari kau sendiri..


5) Baju kurung boleh menutup kelemahan fizikal kau. Tak perlu ulas lanjut. Aku rasa semua orang boleh faham...hehe...


- Ini adalah gambar paling latest aku pakai baju kurung yang aku boleh dapat. Hari Raya 2008 di Dublin. Kami adalah golongan 'RARE' berbaju kurung. Amacam, ayu tak?? =p-




p/s Teringat pulak, pernah satu ketika dulu, seorang chinese guy pernah beritahu aku, gadis melayu  berbaju kurung ni nampak sexy! Aku agak terkejut, tapi kalau dah kita pakai baju kurung saiz sesuai + proper tudung...it shouldn't be sexy anymore...i guess... 


p/s Selamat Berbaju Kurung!=)~

03 June 2009

Aku ROCK (?)

[ROCK- sejenis aliran muzik, bukan seketul BATU]

Kau orang percaya tak kalau aku cakap, setiap daripada kita punya jiwa "ROCK" masing-masing? Cuma, kadang-kadang tu tak nampak sangat, sama ada sebab kau rasa segan dengan orang lain atau kau memang nak control 'saham' kau sendiri.

Sebab itu kadang-kadang aku rasa bila jiwa "ROCK" tu datang, mau satu hari tu aku nak melayan lagu-lagu "ROCK". Dan satu hari itu juga aku tak nampak diri aku sebagai seorang Gadis Melayu ( terakhir...? kalau kau nak tambah ). 

Pakai baju tu nak yang paling sempoi paling bagus. (Sempoi bagi aku: Jeans and tshirt. Kau fikir apa...?? haaa...??) 

Cakap pun main sedap mulut je. Tiba-tiba keluar perkataan "wa" "lu" "cilaka" "pejadah" mak nenek semua. Tapi, ni semua aku guna untuk bermonolog atau merungut sendirian je lah.


"Kau gila ke Najlaa nak guna perkataan-perkataan ni depan orang..? Takde orang nak masuk meminang kau ni nanti woi...!"


Dan, ya, untuk kesekian kalinya jiwa "ROCK" aku muncul lagi pada malam ni. 


Dan malam ni aku dah layan semua lagu-lagu "rockapak" dan Rock bands dalam itunes aku. Aku ingat nak repeat playlist pulak lepas ni. Boleh?

Malam ni juga aku dah terlepas cakap (tulis kot, sebab aku YM) "wa" sebagai kata ganti nama diri "aku" dengan seseorang. Aku tepuk dahi je lepas tu. Nasib baik dia tak perasan sangat.

Dan aku dah set esok aku nak pakai shirt sempoi and jeans pergi tutorial & kelas.




Dan...kau jangan terkejut kalau esok-lusa aku bertukar imej menjadi gadis melayu sejati, dengar lagu-lagu nasyid takpun lagu-lagu Siti Nurhaliza melangkah longlai, menyusun bicara dengan penuh anggun dan sopan! cewahh....(pejadah apa aku merepek ni??)



*Aku bukanlah gadis ayu yang kau cari-cari selama ini....*


p/s Cuba lu bilang berapa banyak perkataan "ROCK" dalam entry ni. Itupun, kalau lu orang memang takdak keja la...

30 May 2009

"Projek" Minggu Ini...

Sila jangan salah tafsir tajuk di atas. Kadang-kadang penggunaan perkataan "projek" yang sepatutnya membawa maksud yang baik, seringkali disalahguna bagi membawa maksud lain. Kalau anda berotak "suci", baguslah. (=p~)

Minggu ini rasanya agak busy, sebab minggu ini, kami ditempatkan di Klinik-klinik kesihatan untuk memantapkan clinical skills kami. Setiap hari juga harus sampai di klinik selewat-lewatnya pukul 7.45 am. Disebabkan traffic jam dan kedudukan klinik yang agak jauh dari rumah, kami terpaksa bertolak 30 minit lebih awal.

-KK Sg. Dua-


Kami berdua, (aku & Ima) ditempatkan di Klinik Kesihatan(KK) Sg Dua. Walaupun KK ini kecik je, kami berjaya menghabiskan lebih kurang 16 practical skills yang perlu kami kuasai (ceh, 'kuasai'...macam ape je kan) dalam masa 4 hari. Maksudnya, kami perlu habiskan 9 lagi skills sebelum layak untuk masuk ke Tahun 4!

Aku suka staff nurses dan MAs klinik ni. Rata-ratanya mereka willing untuk memberi peluang kepada kami mengambil BP, mengambil darah, set up ECG, buat injections and other stuffs on patients walaupun skill kami masih teruk. (hehe, takdelah teruk sangat, cuma pengalaman tu takde, so macam takut sikit nak buat 1st time kan. On real patients pulak tu). Tapi, lama-lama aku rasa senang & seronok pulak buat. Especially bab ambil darah. Seronokkk!! Tapi kekadang kecewa juga sebab veins on certain patients susah nak dapat! 

-I'm BLOODY excited everytime I see BLOOD!!=D-


Minggu ini juga group aku ada presentation untuk subjek Pengajian Malaysia. Tajuk yang kami buat ialah mengenai "MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA". Aku telah mengutarakan satu idea kepada ahli-ahli group untuk membuat "live interview" bagi presentation ni. Basically, kami jalankan temuramah kepada orang ramai bertanyakan pendapat dan pandangan mereka sendiri tentang hidup majmuk di Malaysia ni.

Dan aku rasa, aku ingin sangat berkongsi video ni dengan anda semua, memandangkan kita semua ni masyarakat Malaysia. Semoga sama-sama dapat nilai dan pengajarannya. =)







Dah tengok video tu? So, macammane? ape pandangan anda pulak?

09 May 2009

Ada 3 Jenis Semuanya...

Seingat aku, pernah sekali tu, aku menonton satu siaran drama melayu di TV. Ada satu statement yang agak menarik minat aku.


" Dalam hidup ni, kita perlu berkawan baik dengan 3 jenis orang. Satu, PEGAWAI BANK, satu PEGUAM, dan satu DOKTOR...".


Sebabnya, dalam hidup ni kita tak boleh lari dari 3 unsur ni. KEWANGAN, UNDANG-UNDANG/JENAYAH & KESIHATAN. Jadi, kalau kita dah ada close contact dengan orang-orang ni, senanglah nak hidup beb!


Tapi, sampai sekarang aku masih tak rasa relevennya kenyataan ni dalam hidup aku. Mungkin satu hari nanti, ya. Tapi yang pasti, bukan sekarang.

Kalau nak diikutkan kehidupan aku sekarang, masalah kewangan bukanlah masalah utama. MARA bagi duit. Perbelanjaan pun untuk tanggungan sendiri. (Aku masih belum berkahwin ya, harap maklum). Sentiasa juga, mama & papa menjadi sumber aku meminta duit...hehe...

So, tak perlulah aku susah-susah cari seorang pegawai bank pulak kan?


Bercakap soal undang-undang dan jenayah, aku langsung tak ambik peduli. " Tak ambik pot ", kata budak-budak remaja sekarang. Nak cari peguam untuk pertahankan diri? Salah apa sangat yang aku pernah buat? Setahu aku, kesalahan undang-undang yang paling besar setakat ni, ialah.......emmm....apa hek?...haaa! langgar lampu merah!

So, peguam pun tak perlu aku cari...


Doktor? Aku sendiri insyaAllah akan jadi doktor....so, no further explanation needed. Haha~ (Err, jangan lupa doakan aku berjaya jadi doktor...)


Aku boleh terima kenyataan ni, cuma aku rasa perlu ubah sikiiiitt jek...supaya masuk dengan kehidupan dan jiwa aku sekarang, yang sentiasa meliputi unsur-unsur berikut:



-makan lunch at Chilli's; mahal superr!-


- makan lagi dekat area Bayan Lepas -


- Demi kereta tercinta, aku hantar untuk cuci, vacuum, polish and wax= RM80! -



- One day nanti mungkin kereta aku akan masuk bengkel jugak, mau makan ratus-ratus jugak tuh..!-


Jadinya....


" Dalam hidup ni, kita perlu berkawan baik dengan 3 jenis orang. Satu, MEKANIK KERETA, satu PENGUSAHA RESTORAN, dan satu DOKTOR...".


Sebabnya, hidup aku sekarang dikelilingi dengan unsur kereta, makan makan makan dan kesihatan! (wajib ada)...

Logik kan..??












Aaa....tapi, mungkin boleh tambah lagi satu kottt....











....TAUKE KARAOKE RED BOX...!! WOAHAHAHAAhahaha~ =P



Lastly,
HAPPY MOTHER'S DAY, MAMA! AND TO ALL MUMS AROUND THE WORLD~=)

06 March 2009

Susahnya Membahasakan Diri !


-kenapa tak SAYA (HEART) AWAK?-

Ada ketikanya masalah nak membahasakan diri ni akan timbul terutama dalam situasi yang baru atau kita tak biasa berbual dengan seseorang. Di mana kita tak mengenali sangat orang yang kita jumpa ni. Selalunya, kalau situasi ni wujud, aku rasa kebanyakan daripada kita akan ambil 2 solusi ni:

1) Untuk situasi baru, kita tunggu respon pihak kedua untuk membahasakan diri dulu. Kemudian kita pun ikut rentak dia. Kalau dia bahasakan diri dia "saya", so secara automatiknya perbualan itu dalam bahasa "saya-awak". Kalau dia start guna "aku", kita pun berbual secara "aku-kau".

2) Seboleh mungkin kita akan mengelak dari gunakan ayat yang memerlukan penggunaan membahasakan diri. Kita ubah ayat aktif menjadi ayat pasif. Contoh: "Eyh, kau ni kenapa? Aku tengok lately ni kau asyik bad mood je. Kau ada problem ke??". Sebaliknya, sambil pegang bahu dia, kita pun cakap, " Kenapa ni? Asyik badmood je? Ada problem ek..?". Contoh laa. Yang pastinya, ayat pasif ni memerlukan body language yang strong jugak. Kalau tak nanti, ayat tak menjadi. Anda tentu faham.

Kadang-kadang, masalah nak membahasakan diri ni timbul di kalangan rakan-rakan jugak. Maksud aku, rakan-rakan lama yang dah lama gila tak kontek, tiba-tiba terjumpa dekat mana-mana ke, reunion ke or whatsoeva la. 

Sebab selalunya, masa kat sekolah dulu, kita guna "awak-kita". Comel kan?kan? Untuk perempuan je la. Kalau guys guna "awak-kita"....err...lu pikir la sendiri! Dah tu , sekarang ni zaman dah berubah di mana kebanyakan kita guna "aku-kau" @ "I-You" dengan orang sekeliling. So, bila nak berborak tu, mesti rasa kekok jugak.

Yang lelaki pulak, diorang memang standard "aku-kau", so takde masalah sangat. Cuma aku perasan, mostly, kalau diorang ni baru berjumpa, diorang takkan guna "aku-kau" terus. Diorang guna "Bro!"

Contoh : Kalau ayat aktif-"Motor KAU smart dowwh~Brapa harga?". Instead, diorang akan tunjuk motor sambil cakap, "Smart ah motor ni, bro!. Brapa harga?" Lagi sekali, body language memainkan peranan. 

Sebaliknya, masalah membahasakan diri ni tak berapa nak timbul dalam beberapa situasi:

Situasi pertama.
Dimana language yang kita gunakan adalah complete english language. Inilah satu-satunya sebab yang aku suka tentang English language. Tak mendiskriminasi. Semua standard "I-You".

Situasi kedua.
Urusan profesional. Contoh urusan di bank, pejabat dan sebagainya. Standard kita akan guna "saya-awak" atau "nama kita , ie Cik Najlaa". Betul tak? Tapi, baru 2 hari lepas, aku sign up untuk satu program takaful mudharabah ni. Seorang agent lelaki telah mendekati aku semasa aku pulang dari MidValley. Kami berdiskusi tentang program takaful ni, dan dia lebih selesa membahasakan diri dia "Abang". Dan dia akan bahasakan diri aku dengan memanggil nama aku. Tapi, 'abang' ni memang sempoii. So, tak kisah sangat.

Ada sesetengah perempuan yang kurang selesa bila membahasakan seorang lelaki sebagai "abang". Macam ada unsur gatal di situ. Aku pun tak terkecuali. Tapi, aku masih boleh consider kalau niat lelaki itu memang ikhlas dan murni. So, takde fitnah akan berlaku. 

Situasi Ketiga.
Bila becakap dalam dialek daerah. Biasanya diorang ni pakai loghat standard jugakla. Contoh:

Kelantan: "Mu-Aku"
Pahang: "Aok-Kaweh/Keh"
Utagha: "Hang-Kami/aku"
Sarawak: "Kamek-Kitak"

Ada lagi alternatif lain / jalan tengah yang kurang digunapakai, iaitu "orang" dan "kamu( untuk seorang )". Akhir kata, terpulanglah pada anda sendiri untuk menentukan, asalkan selesa dan sesuai dengan keadaan. Apa-apa pun, aku paling selesa menggunakan "AKU-KAU", tapi masih fleksibel...=)

P/S Dalam Al-Quran pula, istilah "KAMI" merujuk kepada ALLAH cuma kerana kita aplikasikan "dhamir" Bahasa Arab yang kadangkala gunakan "KAMI" untuk menggambarkan kekuasaan / kebesaran, istilah "KAMI" digunakan tapi bukan bermaksud 'jamak'. Wallahualam

P/S err..selingan...sape nak undi Raja Lawak tu, go on la...tapi tolong undi SEPAH, bole tak?


01 March 2009

Anda Dah Cukup MALAYSIA??



Jumaat lepas (27th Feb) aku buat pertama kalinya berpeluang menyaksikan Konsert Alam M.Nasir di Panggung Sari Istana Budaya. Dan ini jugalah pertama kali aku menjejakkan kaki ke IB setelah 23 tahun bergelar warganegara Malaysia. Bagi aku, TAK CUKUP MALAYSIAlah beb kalau tak pernah sekali ke sana! Jadi apakata anda, sahutlah cabaran aku untuk sekurang-kurangnya memberi sekali peluang untuk diri anda menghayati seni pementasan budaya kita di sana.

Nak kata aku peminat fanatik M.Nasir? Err..jauh sekali (..kott). Cuma aku 'senang' mendengar lagu-lagu Sifu ni. Aku kan memang universal listener. So, boleh kata aku terima kebanyakan genre-genre lagu yang aku rasa aku suka dengar. Dah orang belikan aku tiket, aku sapu jelaa~ lalala. OK, aku memang pantang diajak. 

Walaupun, banyak juga lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Sifu malam tu memang aku tak pernah dengar pun. Bajet aku dengar lagu-lagu M.Nasir kat Ireland dulu ke?? Haha~ Tak updated langsung! But the concert was awesome!! Taula M.Nasir macammana kan? He got his own style and that very style makes him so special. And the crowd was awesome tooo~

-Istana Budaya-

-muke tak happy, tp actually aku happy-

-blurry vision-

-blurry vision 2-

Sebenarnya dah lama juga aku bercita-cita nak ke sana. Dan syukurlah sekarang baru mendapat kelapangan masa dan peluang itu. Bercerita tentang "CUKUP MALAYSIA" ni, aku sekadar nak kongsi list PERIBADI yang aku rasakan setiap jiwa-jiwa penduduk Malaysia takkan jadi CUKUP MALAYSIA kalau tak pernah sekali ke tempat-tempat berikut:

1) Istana Budaya
2) Pasar Seni
3) Balai Seni Lukis Negara
4) Studio Bangsar
5) Dewan Philharmonic & Skybridge, KLCC
6) Menara KL
7) Petaling Street
8) Jalan TAR
9) Sepang International Circuit
10) KLIA

Ada lagi lokasi-lokasi yang seterusnya, tapi aku sekadar menulis yang 'besar-besar' sahaja. Aku sendiri nampak gayanya belum cukup MALAYSIA kalau aku ikut list ni. Yang pasti, aku akan cari peluang untuk pergi menjelajah setiap tempat yang aku senaraikan ni. 

Bagaimana dengan anda? Dah rasa cukup Malaysia? Taknak kongsi "list" anda pulak ke..?=)


p/s tetibe je rasa nak download lagu-lagu M.Nasir pulak nihh...